Pages

Tuesday, January 5, 2010

Rabecca Nur Al-Islam


BIARPUN satu-persatu penafian sudah keluar dari mulut empunya diri sebelum ini, hakikatnya pelakon popular, Rabecca Nur Al-Islam atau lebih dikenali sebagai Rabecca berterusan dihujani gosip kononnya dia gemar berdrama dan sentiasa bikin kecoh di set penggambaran.

Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan beberapa kali jatuh pengsan sehinggakan pihak produksi drama Jangan Tegur... Lagi terpaksa menyediakan perkhidmatan van ambulans di lokasi penggambaran gara-gara bimbang dengan keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

Ketika diminta mengulas sekali lagi tentang khabar angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa kira-kira sebulan lalu, Rabecca sepertinya sudah tidak terdaya mahu bercakap panjang lebar tentang isu itu.

"Ini semua cakap-cakap daripada orang yang benci atau tidak puas hati dengan saya. Mungkin saya sendiri tersilap langkah sampai terlalu percaya dengan orang di sekeliling yang sebenarnya bersikap hipokrit.

"Saya anggap perkara ini fitnah belaka dan enggan ulas lebih lanjut. Lagipun saya bukan jenis individu yang suka fikirkan tentang benda remeh-temeh. Banyak lagi yang boleh dikongsi dengan peminat terutama tentang kerjaya seni saya.

"Geli hati dan kelakar rasanya apabila saya dikatakan asyik buat perangai dan pengsan di lokasi penggambaran.

"Cuba anda guna akal sendiri, perlukah sampai kena panggil ambulans, polis atau bomba sekalipun kerana saya pengsan. Memang tidak masuk akal," jelasnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Adnan Sempit di Cathay Cineplexes, Cineleisure, Damansara, Selangor baru-baru ini.

Sambung ibu kepada anak angkat bernama Nor Adam Daniel, tiga tahun, itu lagi, dia sendiri terkejut apabila mendengar perkhabaran tidak berasas itu.

"Saya tidak tahu menahu dengan gosip ini. Terus terang, saya hanya baca ruangan hal ehwal dalam dan luar negara apabila membaca surat khabar. Saya sudah terbiasa mengasingkan terlebih dahulu artikel berkaitan dunia seni ke tepi.

"Saya lebih cenderung lihat berita ekonomi, kes pembuangan bayi, penderaan dan hal-hal yang berlaku di sekeliling kita. Tanpa berselindung, selalunya saya beli akhbar kalau ada cerita tentang diri saja. Itupun kawan-kawan yang maklumkan tentang artikel saya.

"Lantaran itu, saya sendiri terkejut apabila dapat tahu ada keluar dalam ruangan gosip orang menulis tentang diri saya yang buat kecoh di lokasi penggambaran. Sekali lagi saya ingin jelaskan, ia sekadar dakwaan yang tiada kebenarannya.

"Walaupun saya berasal dari kampung di Johor, namun saya ada fikiran yang matang. Sedihlah apabila ada lagi manusia yang dijadikan hidup dengki-mendengki," jawabnya dalam nada sedikit beremosi.

Bukan hipokrit

Bagai menjadi lumrah dunia seni apabila ramai individu bersikap hipokrit disebabkan masing-masing ada agenda tersendiri sehingga sanggup membuat bermacam-macam helah waima manis mahupun memualkan.

Bagaimanapun, Rabecca mengambil sikap menjadi insan telus dalam setiap hal bersangkutan kehidupannya. Biarlah pelakon lain mahu berpura-pura, namun sikap hipokrit itu bukanlah tersenarai dalam liga seorang Rabecca.

"Satu saja pendirian yang saya pegang selama ini iaitu sentiasa ingat asal-usul. Kita hidup di dunia ini tidak diketahui bila dan di mana meninggal dunia suatu hari nanti. Tiada salahnya kalau saya hanya mahu menikmati hidup dengan jadi diri sendiri.

"Buat apa kita hidup dalam berpura-pura dengan hendak menunjukkan diri baik. Sebagai manusia biasa, kita ada kelebihan dan kekurangan sendiri yang tidak boleh dipertikaikan.



BUKAN seorang yang hipokrit... Rabecca menegaskan cerita kononnya dia membuat kecoh di lokasi penggambaran adalah fitnah.

--------------------------------------------------------------------------------



"Ambil saja contoh kerjaya sebagai wartawan. Ada juga orang yang tidak suka dengan mereka. Sama juga dalam dunia seni apabila ada segelintir pihak yang kurang menyenangi stail dan personaliti kita. Cuma pihak media bekerja di belakang tabir maka hal mereka tidak didedahkan.

"Saya gembira dengan hidup saya sekarang tanpa perlu menjadi orang lain. Tidak dinafikan, ada ketikanya saya lantang apabila bersuara sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak.

"Saya bukan datang daripada keluarga kaya-raya. Saya sudah belajar banyak perkara tentang kehidupan sebelum bergelar artis lagi. Suka mahupun tidak, inilah diri Rabecca yang tidak perlu dipaksa-paksa sama ibaratnya macam manusia lain. Saya juga ada prinsip sendiri," luahnya panjang lebar.

Selektif dengan watak

Enam tahun Rabecca beradu nasib di gelanggang seni dan ia bukan waktu yang singkat. Banyak pengalaman yang dikutip oleh anak ketujuh daripada lapan beradik itu sekali gus transisi demi transisi terhasil daripada perjalanan sarat liku itu.

Cuma menjadi sedikit kemusykilan apabila audiens jarang menikmati wajah jelita Rabecca di skrin televisyen mahupun layar lebar sepanjang enam tahun yang berlalu pergi.

Rupa-rupanya Rabecca mengaku mengambil sikap enggan menerima apa jua tawaran yang muncul gara-gara pernah menjalani pengalaman pahit sebelum ini.

"Setelah beberapa tahun berlakon, saya mula inginkan keseimbangan dengan mencari produk yang memberi impak kepada diri dan kualiti lakonan. Tidak timbul saya sengaja meminta-minta itu dan ini dalam satu-satu watak yang ditawarkan.

"Cuma saya tidak mahu ambil apa saja tawaran yang datang. Saya tidak kisah kalau muka tidak selalu keluar di televisyen mahupun filem. Saya hanya inginkan yang terbaik dalam karier saya.

"Dalam waktu sama, saya cukup bersyukur kerana para pengarah dan penerbit semakin percaya dengan bakat yang dimiliki.

"Saya percaya sikap memilih ini tidak mendatangkan kerugian atau membataskan penerokaan dalam bidang lakonan. Dengan kemunculan saya bersama produk yang bagus maka hasilnya juga pasti lumayan kelak," jawab Rabecca dengan sepenuh keyakinan.

Azam tahun 2010

Ditanya tentang azam tahun barunya, pantas Rabecca mengungkap kata memohon lebih sinar kebahagiaan dalam menjalani kehidupan pada 2010.



RABECCA kini semakin sibuk dengan kerjaya baru sebagai penulis skrip.

--------------------------------------------------------------------------------



"Saya ingin hidup dengan gembira dan buat yang terbaik dalam bidang lakonan. Bahkan saya mahu jaga dan membesarkan anak angkat saya dengan sebaik-baik mungkin.

"Sebenarnya banyak lagi azam tahun baru saya. Selain memantapkan mutu lakonan, saya juga dalam proses menghasilkan skrip. Ini yang menariknya tentang dunia seni apabila pelakon boleh buat skrip atau jadi pengarah dan penerbit.

"Sejujurnya saya suka menulis. Tetapi tidaklah sampai mahu jadi seorang penulis skrip sepenuh masa. Ia sekadar hobi kerana dalam hidup ini saya meminati tiga perkara - menulis, melukis dan membaca.

"Dunia hiburan punya skop yang luas. Tidak semestinya kalau bergelar pelakon maka sampai bila-bila kita kena berlakon. Saya mahu kongsi imaginasi dan bakat menulis yang ada dengan masyarakat.

"Saya baru saja menyudahkan skrip berkisar cinta dan genre aksi untuk dua buah drama serta sebuah filem yang diberikan kepada MIG (Metrowealth International Group). Setakat ini saya dan pihak MIG masih menjalankan perbincangan sebelum kata sepakat dicapai tidak lama lagi.


"Buat masa ini saya masih bercuti sambil menanti waktu beberapa hari lagi untuk menjalani penggambaran drama dan filem. Dalam tempoh berehat panjang ini, sempat jugalah saya tulis skrip," katanya yang baru sahaja pulang dari Beijing, China bercuti bersama keluarga tercinta selama 11 hari.

Read more: http://scripters.ning.com/forum/topic/show?id=2386880%3ATopic%3A265914&xgs=1&xg_source=msg_share_topic#ixzz0blXFu9U0